Sunday, March 27, 2011

U-Turn Ke Jalan Yang Di RedhaiNYA..

“Assalamualaikum, maaf cikgu, saya lambat”, kata Aisyah yang terlambat ke kelas tambahannya pada petang itu. Cikgu Alif hanya tersenyum dan memberikannya helaian kertas latihan. Aisyah mengambil tempat duduk berhampiran dengan sahabat baiknya.

Firdaus yang dari tadi hanya tertunduk cuba meyakinkan hatinya yang dia tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Aisyah. Lama sudah dia memendam rasa. Dia sedar siapalah dia dibandingkan dengan Aisyah, seorang gadis yang cantik, bijak dan beragama.
Sepanjang mengenali Aisyah, jarang-jarang sekali dia melihat Aisyah berbual dengan lelaki lain, pakaiannya juga sentiasa menutup aurat, Perilakunya lemah-lembut, senyumannya manis. Itulah yang menarik hati Firdaus. Sedangkan Firdaus hanya seorang pelajar yang rendah akhlaknya, dia sendiri mengakui hal itu.Biarpun menuntut di sekolah agama, tetapi solatnya entah ke mana dan waktu-waktunya sering disibukkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
Suatu petang,Firdaus duduk berehat di halaman rumahnya sambil membaca majalah hiburan, dia memang tidak pernah ketinggalan dari segi hiburan. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara seorang perempuan memberi salam. Firdaus menghampiri pintu pagar. Hampir terkeluar biji matanya melihat Aisyah sedang berdiri sambil memegang bungkusan yang tidak tahu apa isinya.

“Ganggu ke? Maaf lah..ni mak saya suruh hantar kepada mak awak. Asyraf pulang ke kampung .” Firdaus hanya membalas dengan ucapan terima kasih. Mereka berbalas salam dan Aisyah berlalu pergi.
Asyraf... apakah kaitan Aisyah dan Asyraf? Semalaman Firdaus memikirkan perkara tersebut. Asyraf adalah rakan baiknya di kelas tambahan. Tetapi tidak pernah pula Asyraf menyebut tentang Aisyah. Dia akhirnya terlena. Dalam lenanya Aisyah bertandan lagi, cukup indah sekali baginya.
Keesokan paginya dia bangkit, bangkit dengan satu azam! Ya. Dia telah bertekad. Dia mahu meluahkan perasaannya kepada Aisyah. Dia mahu memiliki Aisyah. Tidak mahu terlambat, Aisyah tidak boleh dibiarkan jatuh ke tangan orang lain.Terketar-ketar tangannya menaip mesej menghulurkan salam perkenalan kepada Aisyah.
Seketika kemudian telefonnya berbunyi. Menandakan ada mesej yang diterima. Alangkah gembiranya dia apabila salam perkenalannya disambut mesra. Mereka terus berbalas mesej selama beberapa hari.
Bagi Aisyah tiada salahnya hanya berkawan. Tidak pula dia sedari maksud sebenar Firdaus. Aisyah juga mengagumi wajah tampan Firdaus, tetapi perasaan itu disembunyikan daripada sesiapa pun. Aisyah yakin dia pasti akan diejek lantaran perwatakan buruk Firdaus. Tiga hari selepas perkenalan mereka, Firdaus berjaya mengumpul kekuatan untuk meluahkan rasa hatinya kepada Aisyah.

“Saya nak tanya awak satu soalan, boleh?, “Apa dia?”, Aisyah membalas ringkas.
“Kalau saya nak couple dengan awak, awak nak tak?”, Terasa hampir gugur jantung Aisyah tatkala membaca mesej Firdaus itu.
Tidak disangka sejauh itu niat Firdaus. Dia buntu memikirkan jawapannya. Memang sepatutnya dia menjawab “tidak” dengan tanpa ragu- ragu. Bukan dia tidak tahu couple itu hukumnya haram. Tetapi hatinya terus mendesak untuk dia berkata ya.
Firdaus juga sudah berjanji untuk berubah jika Aisyah menerimanya. Dia meminta masa selama tiga hari daripada Firdaus untuk memberikan jawapan. Firdaus pula hanya bersetuju. Tetapi sebenarnya Firdaus hairan kerana sebelum ini gadis-gadis yang ”dilamarnya” pasti akan bersetuju tanpa berfikir panjang.
Tempoh tiga hari yang dipinta Aisyah sudah berakhir. Firdaus menghantar mesej meminta jawapan daripada gadis itu. Aisyah sudah bersedia dengan jawapannya. Firdaus menanti dengan penuh debaran sama ada dia dapat memiliki gadis yang dicintai dan dikaguminya. Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Terketar-ketar tangan Firdaus membuka mesej.

“Maaf, saya tak boleh. Saya tak tahu kenapa tetapi saya rasa takut.”
Firdaus hanya terkebil-kebil. Spontan jarinya menaip mesej.” Tapi kenapa?” dan mesejnya dibalas “ Sabda Rasulullah s.a.w “Barang siapa yang jatuh cinta, lalu menyembunyikannya dan memelihara kesucian dirinya serta bersabar sampai dia meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang mati syahid.”
“Kuno betul...macam orang tua dulu-dulu je. Kau ingat kau cantik dan baik sangat ke? Sombong...memilih pulak. Jadi anak dara tua nanti baru kau tahu!”, bentak Firdaus dalam mesejnya.
Aisyah merenung telefon bimbitnya, dan tanpa disedari air matanya menitis. Bukan dia menyombong, dan bukan pula dia memandang rendah pada Firdaus.
Sejujurnya ada perasaan cinta yang dipendam, namun dia lebih cintakan Allah, Allah tetap cinta utamanya. Dia nekad untuk membuat perubahan dalam diri dan mengabaikan cinta dunia buat masa ini. Banyak lagi yang perlu diutamakan. Dia sedar masih jauh perjalanannya.
Setahun berlalu, Firdaus masih hanyut dalam dunianya sendiri. Dia masih belum dapat melupakan Aisyah. Baginya Aisyah seorang yang terlalu ekstrem dalam agama sehinggakan untuk bercouple pun dia takut, sedangkan pada zaman ini bercouple adalah trend masa kini. Baginya mereka masih boleh bercouple dan dalam masa yang sama, menjaga ada dan batas pergaulan mereka.

Suatu hari, Fitri, abang kepada Firdaus yang seorang pelajar perubatan di University of Bristol,UK pulang bercuti. Firdaus dan Fitri memang amat rapat sejak mereka kecil lagi namun kedua mereka mempunyai sikap yang sangat berbeza. Malam itu Firdaus datang ke bilik Fitri untuk berbual-bual dan melepaskan rindu. Firdaus berbaring di katil Fitri sambil termenung memandang syiling sementara menunggu Fitri yang sedang mandi.
Dari laptop Fitri lagu "UNIC-Atas Nama Cinta” berkumandang memenuhi ruang kamar itu. Firdaus hanya menikmati iramanya tanpa menghayati maknanya.

Tersentak Firdaus mendengar bait-bait kata lagu itu, seperti ada kaitan dengan dirinya. Bayangan Aisyah muncul di fikirannya, dia memainkan semula lagu itu dan kini dia betul-betul menghayati maksudnya. Pelbagai persoalan bertandang di kotak mindanya.
Sebaik sahaja Fitri selesai mandi, Firdaus segera bertanya kepada abangnya:
“Pit, kau kat sana tak ada girlfriend ke?”
“Hish kau ni, studytak habis lagi nak ada girlfriend apanya”.
“Kawan-kawan kau pun tak ada girlfriend?”
"Kawan-kawan aku adalah yang dah ada girlfriend.”
“Habis tu kau tak nak ada girlfriend? Muka kacak tak kan tak ada orang nak ? Ke sikit je Melayu kat sana?”
“Orang Melayu ramailah jugak. Tapi aku rasa ibu dan ayah tak bagi kot aku kahwin sekarang.”
“Pit! Alamak Pit. Aku bukan suruh kau kahwin la. Aku tanya ada tak kau couple dengan siapa-siapa.”
“Hish...Aku faham kau bukan suruh aku kahwin. Tapi tiada hubungan yang sah sebelum kahwin. Jodoh kita Allah dah tentukan.”
“Tapi kita kena lah cari,kan? Takkanlah jodoh datang macam tu je kat depan muka pintu?”
“Memang lah jodoh kena cari, tapi cari dengan cara yang diredhai Allah. Always remember my brother, matlamat tak menghalalkan cara. Tak pernah...”
“Habis tu macam mana nak jumpa jodoh kalau macam tu?”
Firman Allah SWT:
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).[Surah An Nur, ayat 26]

Wow. Kau pergi sana jadi ustaz ke? Habis tu maksudnya aku akan dapat perempuan tak baik la? Sebab aku ni macam jahat je.”
“Mungkin ya, mungkin tidak. Allah yang merancang. Kadang-kala Allah jadikan sebaliknya untuk kita saling melengkapi.”
“Kau nak isteri macam mana Pit ?”
“Kalau boleh aku nak isteri yang cintakan aku, rindukan aku..Dan semuanya kerana Allah.
“Aduhai... hahaha! Lawaknya. Habis tu kalau tak cantik macam mana?”
“Cantik tu subjektif la. Bagi aku cantik yang sebenarnya tu cantik dalaman. Because it will never fade away. Kalau kau sayang dia sebab cantik luaran semata-mata, kecantikan tu tak kekal, cuba kau bayangkan muka dia masa umur 80-an, kau sayang dia lagi tak agak-agaknya masa tu? Sebab tu bukan perkara main-main nak cari isteri, kena minta pandangan Allah. Insyaallah boleh berkasih-sayang sampai ke syurga. Jadi ketua bidadari aku kat syurga nanti. Rumahtangga pun diberkati.”
“Habis tu kalau couple tu jahatlah?”
“Allah larang kita bercouple. Kenapa? Nah. Baca artikel ni” Kata Pit sambil menghulurkan helaian artikel yang menjelaskan hukum couple.
“Rasulullah SAW pun pernah bersabda, kalau kita mengahwini seorang perempuan kerana agamanya, nescaya beruntunglah kita, insyaAllah”, pesan Fitri lagi.
“Oh...okey. Apa-apa pun, terima kasih ye. Okey lah Pit, aku nak tidur dah ni. Selamat malam.”

Malam itu tidur Firdaus tidak lena. Artikel itu pun sudah beberapa kali dikhatamnya. Rasanya dia sudah faham mengapa Aisyah menolak cintanya. Rasanya Aisyah seorang yang berpandangan jauh. Jauh sampai ke akhirat, bukan untuk dunia semata-mata.
Semalaman dia tidak dapat tidur. Dia melangkah ke bilik Fitri untuk berbual lagi dengan abangnya itu. Dia tidak pasti sama ada Fitri sudah tidur atau belum. Jam menunjukkan sudah pukul tiga pagi.Jika dahulu, Fitri masih mentelaah pelajaran waktu ini. Berhati-hati pintu bilik Fitri dikuak, kelihatan Fitri sedang berteleku di atas sejadah.
Perlahan-lahan Firdaus menghampiri Fitri yang sedang khusyuk berdoa dalam esak tangis. Dalam doanya dia menyebut:
“ Ya Allah ya Tuhanku... KasihMu sentiasa segar dalam setiap hembusan nafasku. Betapa lemahnya hambaMu ini. kepadaMu kelak tempatku kembali, janganlah kau biarkan cintaku terhadap dunia yang menipu daya ini melebihi cintaku padaMu.”
Jantung Firdaus mulai berdegup kencang semasa mendengar luahan hati Fitri di dalam doanya. Firdaus segera berlari menuju ke biliknya, dia menangis sepuas hati , entah dari mana datangnya air mata yang begitu kuat sekali mengalir membasahi pipinya, dia juga kurang pasti. Yang dia tahu hatinya terasa tidak tenang, dia mempunyai segala-galanya namun masih terasa kekosongan.
Terasa betapa jauhnya dia dari Tuhan. Betapa lemahnya dia. Dia mengambil wuduk dan menghamparkan sejadah, berhabuk sejadah itu diselaputi kejahilannya. Dia menunaikan solat fardhu Isyak. Hatinya berasa sedikit tenang.

Esoknya, pagi-pagi lagi dia telah berjumpa Fitri.
“Pit, aku rasa macam nak berubah la.”
“Alhamdulillah. Gembira aku dengar, tapi tiba-tiba je?”, tanya Fitri sedikit kehairanan.
“ Sebenarnya semalam aku dengar kau minta ampun pada Allah, kenapa kau menangis? Aku rasa kau ni macam baik sangat. Tak macam aku ni...”
“ Baik la sangat kan. Daus, cuba bandingkan amalan kita dengan amalan para nabi dan sahabat, macam langit dengan bumi! Aku takut Allah tak terima taubat aku selama ini. Hari-hari macam-macam dosa aku buat, ada yang sedar, ada yang tak sedar. Itu tak termasuk lagi dosa masa zaman jahiliah aku dulu.”
“Kau tak rasa malu ke kalau ada orang tahu lelaki macho macam kau ni menangis malam-malam?”
“ Malu? Kenapa? Daus,memang malu tu sebahagian daripada iman, tapi malu kenalah bertempat. Hakikatnya malu itu tak mendatangkan sesuatu pun melainkan kebaikan . Bukan satu perkara yang memalukan pun.
Nabi Muhammad SAW, pemimpin umat, ketua negara. Baginda telah dijanjikan Allah tempat di syurga namun baginda masih beristighfar tidak kurang 100 kali sehari, kita macam mana? Baginda sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki, kita pula?
“ Best ke menangis malam-malam ini.”
“ Best. Best sangat. Macam kau bercakap dengan seorang yang setia dengar tak kira apa pun masalah kau, tak kira masa. Yang tak hina kelemahan kau. Dia bagi kekuatan pula pada kau. Yang tak jemu dengar rintihan kau. Yang pujuk kau dengan janji-jani yang pasti. Yang suka dengar permintaan kau. Yang beri kau rezeki. Yang tahu apa yang terbaik untuk kau. Macam i tulah rasanya.”
“Ada ke orang yang macam tu?”
“Memang tak ada lah yang setia macam tu. Hanya Allah yang Maha mendengar. Allah dekat dengan kita.”
Allah berfirman:
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. [Al-Baqarah: 186]
Indahkan ayat-ayat Allah? Jadikan Allah sebagai kekasih kita, dan Quran adalah ayat-ayat cintaNya. 200% sure akan rasa bahagia lepas ni, sampai akhirat, selama-lamanya...insyaAllah.”
Fitri menghulurkan sebuah buku bertajuk tulisan Imam al-Ghazali yang telah diterjemahkan. Dia berasa cukup bahagia dengan minat adiknya untuk berubah. Dalam hatinya dipanjatkan doa agar adiknya terus istiqamah di jalan Allah.
“Kalau nak berubah kena kuat tau, macam-macam dugaan. Dunia ni penuh tipu daya. Bukan suruh kau abaikan dunia sampai tak belajar, tapi buat apa-apa pun mesti kerana Allah. Allah suruh kita teroka ilmu sedalam mungkin. Kena istiqamah tau. Apa-apa masalah rujuk la ustaz ke… atau orang-orang alim, jangan pergi tanya orang sesat pula.”
“Tak tua sangat ke aku ni nak u-turn semula?”.
“ Tua ke? Aku lagi tua. Umur baru 16 dah kata tua. Bro, never too old to learn, never too late to turn. Aku akan selalu doakan kau. Uhibbuka fillah khair kathira.”
“ Okey, thanks Pit. Kau memang understanding lah..,uhibbuka fillah aidhon. bluek!”, usik Firdaus sebelum melangkah keluar dari bilik Fitri.

Perubahan sikap Firdaus sedikit sebanyak telah menjadi perangsang kepada mereka untuk turut berubah. Buku itu mula dibelek-belek. Setiap helaian dihayati dengan penuh minat. Hatinya terasa tenang. Sedikit demi sedikit perubahan dilakukan dalam dirinya. Hobi lamanya yang tidak berfaedah sudah lama ditinggalkan.
Dia juga mula berdakwah kepada rakan-rakan dan ahli keluarga. Pada mulanya dia mendapat cemuhan, kata mereka Firdaus berubah untuk Aisyah, tetapi Firdaus tetap dengan prinsipnya kerana dia yakin Allah dekat dengannya dan Allah Maha Mengetahui niatnya.
Kecekalan dan ketabahan Firdaus berkat rahmat ilahi mendekatkan dirinya dengan cita-citanya untuk bergelar seorang doktor yang akan mampu merawat penyakit jasmani dan rohani bangsanya. Dia kini bergelar seorang graduan dari Universiti Ain Shams.Menunggu untuk melapor diri di Hospital Tengku Ampuan Fatimah, Pekan Pahang.
Tengahari tadi juga dia selamat diijab kabulkan dengan bidadari yang dinantinya sekian lama, Aisyah Humaira’ binti Ibrahim. Berkat bantuan kembar Aisyah, Asyraf Mukmin sebagai orang tengah. Malam itu mereka solat sunat pengantin baru bersama. Selesai solat, mereka bersalaman. Kelihatan permata jernih mengalir membasahi pipi Aisyah.
Dia turut sebak menahan tangis. Namun dengan tenang dia mengawal perasaan.
“Kenapa Humaira’ menangis? Humaira’ sedih ke?”
“Bukan Abang, Humaira’ bersyukur sangat. Kasihnya Allah pada kita, disimpulkan kita dengan ikatan suci. “Abang pun gembira sangat Humaira’, Allah kurniakan abang bidadari yang sangat cantik, cantik segala-galanya. Lengkap separuh agama abang. alhamdulillah... ”
Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan buat Ilahi. Tempat datang dan kembalinya segala nikmat. Tempat selayaknya dikembalikan segala puji-pujian. Benarlah hidayahNya disalurkan melalui pelbagai cara, alhamdulillah...

-Sumber I love Islam-

Saturday, March 26, 2011

Asal Usul Api..

Diriwayatkan bahawa Rasulullah  pernah menceritakan betapa asalnya kejadian api di dunia ini. Setelah nabi adam dihantar ke dunia kerana kesalahanya memakan buah larangan maka Allah swt telah memerintahkan Jibril as supaya mengambil api dari neraka untuk dihantar ke dunia utk kegunaan nabi adam as. Maka jibril as pun diperintahkan utk meminta api tersebut daripada
malaikat penjaga api neraka iaitu Zabaniah.

Jibril : wahai zabaniah, aku diperintah utk mengambil sedikit api neraka utk dihantar ke dunia bagi kegunaan adam as.
Zabaniah : sebanyak mana sedikit itu ?  
Jibril : sebesar kurma...
Zabaniah : kalau sebesar buah kurma api neraka itu engkau bawa nescaya akan cairlah tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi akibat kepanasanya.
Jibril : kalau begitu berilah aku sebesar separuh dari buah kurma...
Zabaniah : kalau sebesar separuh buah kurma api neraka ini engkau letakan di dunia nescaya tidak akan turun walaupun setitik hujan dari langit dan tidak ada suatu pun tumbuhan akan tumbuh di bumi nanti.. Memandangkan keadaan yang rumit ini maka jibril as pun menghadap Allah untk mendapatkan saiz yg perlu di hantar ke dunia.

Allah swt pun memerintahkan supaya jibril mengambil sebesar ZARAH sahaja dari api neraka utk di bawa ke dunia.
Maka jibril as mengambil api neraka sebesar zarah dari zabaniah tetapi oleh kerana kepanasan yg keterlaluan
api neraka sebesar zarah itu terpaksa di sejukan dgn mencelupnya sebanyak 70 kali kedalam sungai di syurga dan sebanyak 70 buah sungai. = 70 x 70 Selepas itu jibril as pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakan diatas sebuah bukit yg tinggi. tetapi sejurus setelah diletakan tiba-tiba bukit itu terus meleleh cair maka cepat-cepat jibril mengambil semula api tersebut dan dihantar semula ke neraka.

Hanya sisa-sisanya sajalah yang terdapat di dunia ini spt api yg sering kita gunakan utk berbagai keperluan dan juga api yg terdapat di gunung berapi dll lagi.

PENGAJARAN : Bayangkanlah kepanasan api neraka yg sebesar zarah yg terpaksa disejukan dlm 70 buah sungai dgn sebanyak 70 celup setiap sungai dan hanya sisanya saja itupun manusia tidak dapat bertahan akan kepanasanya bagaimana dgn api di neraka itu sendiri. SEBESAR ZARAH SAHAJA. MOGA ada manafaat dari riwayat ini.

-Sumber dari Sahabat-

Malam..

Malam mula menjelma,
Dingin angin menyejukkan suasana,
Kegelapan mula menyapa,
Menyembunyikan sinar cahaya.

Hembusan angin sepoi-sepoi bahasa,
Menandakan isyarat kesejukannya,
Di ulit mimpi sang manusia,
Beradu dalam lenanya.

Suara cengkerik meriahkan suasana,
Bernyanyi-nyanyi sang kodok pula,
Hujan turun dengan lebatnya,
Kesejukan mula terasa.

Suasana malam menyimpan rahsia,
Hadiah buat umat manusia,
Kesunyian malam dapat di rasa,
Berkongsi alam ciptaanNYA.


-Asrar90-

Friday, March 25, 2011

Bukan Terlupa Tetapi Pura-Pura Lupa

Apabila kita melihat manusia pada zaman kini, sudah banyak yang lari dari landasan yang benar. Ramai yang mula mengambil jalan singkat ke neraka sedangkan bilangan yang mengambil jalan yang diredhai oleh Allah SWT amatlah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil jalan singkat ke neraka ini.
Wahai kawan sekalian sedarkah anda,
Maksiat yang berleluasa di sana-sini,
Batas pergaulan pula tidak dijaga,
Pegangan agama entah ke mana?
Begitulah ibaratnya mereka yang bergelar Islam hanya pada namanya yang indah tertulis ‘Binti’ dan ‘Bin’ namun perangainya tidak seindah itu. Inilah hakikatnya yang pahit. Sekiranya kita pergi ke mana-mana pusat membeli-belah, sudah tentu kita akan melihat si pembuat dosa ini bermaharajalela.
Ada yang tudungnya terbang,
Ada yang berpegang-pegangan,
Ada yang dirinya ditayang-tayang,
Sedihnya apabila agama tidak dipegang.
Kaum hawa terutamanya, sudah kian hilang rasa malunya. Tegar mendedahkan aurat di sana-sini. Seolah-olah perkara tersebut adalah perkara yang diredhai Allah. Apabila ditanyakan kepada mereka, "Bilakah akan terbuka hatimu untuk bertudung?". Pasti kebanyakan mereka akan menjawab seperti ini:
  • "Alaa...esok lusalah saya insaf!"
  • "Tudung itu harus dipakai dengan ikhlas,mana boleh paksa-paksa? Belum dapat petunjuk lagi, insyaAllah suatu hari nantilah."
  • "Suka hati akulah bila aku nak pakai tudung. Orang yang pakai tudung lagi teruk perangainya daripada aku, jangan sibuk nak tegur akulah."
  • "Kau jangan nak lecture aku. Aku tahulah apa yang betul atau tak!"
Itulah kebanyakan jawapan dan alasan yang kita dengar daripada anak-anak gadis kita sekarang. Mari kita kaji pula tafsiran Surah An-Nur ayat ke-31.
Katakanlah kepada wanita yang beriman:Hendaklah mereka menahan pandangannya,dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya,kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya,kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka,atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka,atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. [Surah An-Nur: 31]
Sudah terang lagi bersuluh bahawa kaum hawa diwajibkan oleh Allah SWT untuk menutup aurat mereka. Tetapi mereka yang tidak tahu malu kepada Allah masih berani mengatakan bahawa mereka belum ’insaf’ untuk menutup aurat mereka.
Wahai kaum hawa yang sudah hilang dari jalan yang benar, insaflah sementara pintu taubat Allah masih terbuka. Andai ajalmu tiba pada hari esok, semuanya sudah terlambat. Ingatlah!
Menutup aurat itu bukanlah kehendak sama ada kita mahu atau tidak, tetapi ia merupakan kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.
Di antara punca utama mengapa kes-kes rogol kian berleluasa adalah kerana kaum wanita yang suka menayangkan tubuh mereka yang kononnya seksi, hot, dan pelbagai lagi istilah untuk menggambarkan betapa hebatnya badan mereka itu. Malah, ramai menyalahkan kaum lelaki kerana terlalu miang.
Persepsi ini salah! Lelaki, kalau tidak ada apa-apa yang menaikkan syahwatnya, nescaya lelaki tidak akan bertindak sedemikian. Wanita kini yang sibuk berdandan terleka dan sibuk mengejar kecantikan duniawi sedangkan mereka lupa bahawa kecantikan yang paling diredhai Allah ialah kecantikan menutup aurat.
Buat kaum adam pula, bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nur, ayat ke-30 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.
Jelas bahawa lelaki juga harus memelihara pandangan mereka dari perkara-perkara yang boleh mengundang maksiat. Namun,mereka lupa, atau pura-pura lupa. Yang lebih memalukan adalah ada yang tidak mengetahui tentang perkara tersebut.
Berpakaian terkoyak sini sana,
Berseluar sendat nampak susuk badannya,
Lelaki pula naik syahwatnya,
Hingga maksiat kian berleluasa.
Beginilah yang terjadi apabila kaum wanita ingkar perintah Allah SWT. Dosanya bukan sahaja kerana dia tidak menutup aurat, tetapi dosanya berlipat ganda apabila dipandang oleh lelaki sehingga timbul syahwatnya. Lelaki pula, dosanya bukan sahaja kerana melihat aurat si wanita, namun dosanya pasti berlipat ganda sekiranya lelaki itu berjaya memujuk sehingga hilanglah ’mahkota’ wanita tersebut.
Kemudian,berdosa pula mereka yang membuang bayi luar nikah. Semuanya bermula kerana ingkar menutup aurat dan ingkar menjaga pandangan.
Bukan sahaja soal aurat menjadi persoalan zaman ini,malah soal batas pergaulan menjadi isu yang panas.
“Hai sayang...I rindu dengan you, nanti kita dating kat tempat biasa ye.”
Manusia yang kemaruk cinta sebegini amatlah mudah untuk digoda syaitan untuk melakukan maksiat. Memang tidak hairan kerana di dalam masyarakat kita kini, budaya couple dianggap sebagai perkara biasa. Betapa salahnya mereka. Allah telah memerintahkan kaum lelaki dan wanita agar menjaga pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka.
Allah tidak pernah menyuruh kita untuk bercouple, berpegang-pegangan dan bermesra-mesraan. Betapa manusia kini berpura-pura lupa. Sehinggakan ada yang sanggup berkorban segala-galanya demi si dia yang dicintai.
Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu bukanlah hubungan pernikahan yang sah?
Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu dilandaskan oleh nafsu dan kehendak hati yang dibisik oleh syaitan?
Sekiranya mengadakan hubungan terlarang sebelum perkahwinan itu baik kononnya, fikirkanlah mengapa Allah menyuruh kita agar menjaga kehormatan dan pandangan kita?
Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita. Cintailah Allah terlebih dahulu, nescaya kamu tidak akan hilang arah. Apabila si wanita dan lelaki berdua-duaan, mereka lupa bahawa pihak ketiga adalah syaitan. Orang yang bercinta begitu khusyuk menuturkan kata-kata cinta, sehinggakan mereka tertinggal solat dan meninggalkan pegangan agama mereka, semuanya kerana mereka tunduk kepada nafsu dan bisikan syaitan.
Malulah kepada Allah SWT,
Contohilah Rasulullah SAW,
Jauhilah maksiat.
Jagalah pandanganmu,
Peliharalah auratmu,
Wahai anak-anak Adam,
Janganlah berpura-pura lupa,
Kerana mungkin sahaja ajalmu esok.
-Sumber i love islam-

Monday, March 21, 2011

Cinta itu FITRAH...

Cinta... satu pengalaman yang dikatakan cukup indah dan kehilangan cinta dikatakan cukup pedih. Bagi saya yang tidak pernah bercinta (tetapi amat percaya pada cinta), saya tidak boleh komen lebih-lebih mengenai perasaan bercinta atau putus cinta. Tetapi, saya ada satu kisah benar yang berlaku kepada seorang kawan baik saya ketika di Amerika. Kisah ini membuktikan cinta terbaik hadir apabila kita berubah menjadi terbaik.
Kisah S
Pada tahun 1996, semasa saya melangkah kaki di Illinois State University, tiada orang Melayu Malaysia dan saya satu-satunya wanita bertudung. Selepas seminggu berada di bumi Amerika, S adalah orang pertama yang menegur dan memberi salam. Ketika itu, saya mengakui betapa perkataan semudah "assalamualaikum" menjadi common language antara 2 insan berlainan bangsa dan warganegara.
S adalah gadis Pakistan yang lahir dan dibesarkan di Amerika. Bersama-samanya ketika itu ialah M, teman lelaki yang berbangsa black American yang baru setahun memeluk Islam. Dipendekkan cerita, setelah beberapa kali berjumpa, kami sepakat apabila semester seterusnya, kami akan tinggal sebilik di asrama.
Apabila kami menjadi roomate bersama 2 gadis berbangsa white American yang lain, saya mengenali S dengan lebih rapat. Setiap malam Sabtu, dia akan keluar dengan kawan-kawannya (dia tidak pernah mengajak saya). Dia cukup rajin belajar dan antara pelajar cemerlang dalam bidang biologi.
Saya pernah ke rumah keluarganya. Adik perempuannya bermekap tebal ala ghotic dan abangnya akan menyebut 'f#%@" disetiap akhir ayat. Rumahnya sederhana dan rasa tenang sepertimana rumah berkeluarga yang lain. Saya perhati, hampir di setiap dinding rumahnya tertera "786". Apabila ditanya, katanya, "that is the number of times Bismillah is mentioned in Quran." Saya diam sahaja kerana kurang arif. Hanya sekali sahaja saya tegur dengan nada serius "S, if I saw you sleeping in one bed with M again, I sleep outside."
Saya akui, kelemahan iman menyukarkan saya menegur perkara-perkara lain tetapi percaya perubahan total perlu datang dari dalam diri. Saya menerima S seadanya.
Suatu hari S kata, dia cuba nak pakai tudung. Dia mula pakai tudung putih ke kampus dengan baju lengan pendek. Sebulan kemudian, dia pakai jubah hitam di atas baju lengan pendeknya. Dia juga mula membaca tafsir Al-Quran.
Suatu hari S, beritahu saya, "Mimi do you know, when Allah send the message for the women to wear hijab, they immediately pull the curtains and cover themselves with it. Only their eyes were shown."
Beberapa minggu kemudian, S menutup mukanya dengan kain. Hanya mata yang kelihatan. Saya berkesempatan ke rumah keluarga S lagi. Rumahnya masih sama. Tetapi, isi rumahnya sudah lain. Adik perempuannya sudah berjubah dan menutup muka, tiada lagi "786" sebaliknya diganti dengan ayat Quran, abangnya juga sudah tidak menyebut "f%#@". Adik perempuannya juga ambil keputusan berhenti sekolah menengah & hanya home school. Mereka sekeluarga juga mengambil kelas bahasa arab.
Untuk pengetahuan semua, dari saat S beritahu hendak pakai tudung sehingga saat dia menutup wajahnya (termasuk tangan), ia mengambil masa kurang dari 1 tahun.
Okay sekarang cerita cinta...
Sepanjang perubahan itu, S masih dengan M (yang juga berubah menjadi Muslim yang lebih baik). Mereka berdua sudah tidak berjumpa berdua-duan. Kalau berjumpa, mereka akan berbincang mengenai hadis atau ayat Al-Quran. Suatu hari sepupu S (juga, suatu ketika pernah melalui kehidupan bebas) masuk melamar. Sepupunya adalah antara pendakwah muda di beberapa konvesyen Muslim di Amerika.
Di bahu ini, S meluahkan dalam perasaannya...
"How can I love another man, as I love M...?"
Saya tak boleh nak jawab. S keraskan hatinya yang pilu dan menerima lamaran sepupunya. M juga terpaksa menerima dengan hati yang berat.
Tiga bulan kemudian, S bercerita pengalaman keluarganya bercuti. Malah, dia juga memberitahu bagaimana sepupunya (si tunang) terpaksa mengangkat punyalah banyak beg dan dia yang berjalan di belakang berkekeh ketawa dengan adiknya. Saya juga turut gelak kecil. S bercerita dengan nada gembira & seri di muka.
Semenjak saya pulang ke Malaysia, saya sudah hilang contact dengan S. Namun, saya bersyukur sepanjang 2 tahun setengah bersama S, Tuhan tunjukkan erti sebenar perubahan.
Walaupun belum bertemu cinta, percayalah, apabila kita berubah menjadi diri kita yang terbaik, Tuhan akan buka laluan untuk cinta yang terbaik juga hadir. Saya doakan semoga kita bertemu cinta yang telah dijanjikan.
-sumber i love islam-

Saturday, March 19, 2011

Doa Dari Hadis Sohih : Khusus Elak Di Rogol & Cabul

Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan. 
  Maka di sini, selain doa dari hadis sohih pelindung setiap kali keluar rumah yang telah saya paparkan di artikel berkenaan Al-Marhumah Nurin Jazlin sebelum ini.  Iaitu :-
رَسُولَ اللَّهِ  يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

DALAM sebutan rumi : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI'UL 'ALIM 
Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ;   At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna Merah  Syeikh Syuaib ; Hasan)

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.
اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ
DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM
Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )
Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.
Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.
Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri. 

Fikirkanlah.RENUNGAN BERSAMA...
-copy from ustaz zaharuddin-

Tuesday, March 1, 2011

Metod Fatwa Al-Qardawi dlm Menangani Isu-isu Semasa (Filem bersiri Pokemon)

Pokemon adalah filem kartun secara bersiri berasal drpd negara Jepun. Ia dibuat bg menjadi bahan tontonan kanak-kanak. Filem kartun ini telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia termasuklah dunia Arab yg dialihbahasakn ke dlm bhasa Arab Fusha. Ia diminati oleh kanak-kanak leleki dan perempuan dan kadan2 m'ganggu tugas para pekerja.
Filem kartun ini juga mrupakan satu permainan dan jampi mentera yg menjadi p'tandingan d kalangan pemainnya. Sebahagiannya meraih keuntungan dan sbahagian lg mengalami kerugian. Al-Qardawi m'fatwakan haram menonton filem dan permainan seumpama ini kerana 2 p'kara iaitu:
     Pertama: Permainan pokemon mengandungi judi dan pertaruhan yg d haramkn oleh Islam. Judi d gandingkan Allah dgn arak, berhala dan jg bertenung nasib dan mengira ia sebagai salah satu drpd kerja syaitan.Firman ALLAH SWT yg bmaksud:
"Wahai orang-orang yg beriman! Bahawa seseungguhnya arak, judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dgn batang2 anak panah, adalah semuanya kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya nsupaya kamu berjaya." (al-Maidah:90)
      Kedua: Permainan Pokemon mgandungi simbol-simbol tertentu yg mpnyai tujuan t'tentu. Misalnya bintang b'segi enam yg mempunyai hubungan dgn Zionis dan Pertubuhan Freemason, yg skrg ini telah menjadi simbol kpd negara zionis Israel. Antaranya jg bintang b'segi tiga yg merupakan simbol kpd Pertubuhan Freemason. Begitu jg dgn simbol yg lain yg ada hubungan dgn kepercayaan agama Shinto yg dianuti oleh org2 Jepun dan lain2 lg. Sebagaimana yg diketahui lambang2 dan simbol2 yg dinyatakan d atas meninggalkn kesan jangka pnjang pd diri para remaja dan kanak-kanak. 

Dari segi pengharaman menonton filem kartunn Pokemon, Al-Qardawi menggunakan dalil antara lain:

1. Ia merbahaya kepada akidah Islam kerana mengandungi teori Darwin yg terkenal dgn teori perkembangan iaitu pkmbangan jenis makhluk yg rendah kpd makhluk yg lebih maju dan lebih kuat, sehinggakan manusia sendiri berkembang drpd makhluk yg lebih rendah kemudian berpindah menjadi Beruk. Beruk lebih hampir bentuknya dgn manusia dan akhir sekali perkembanagan manusia berakhir dgn manusia sbagaimana yg wujud hari ini.

Filem Pokemon ini berasaskan kpd teori pengembangan dan peningkatan serangga. Perbahasan tentangnya sering berulang untuk membolehkannya menanam teori pkembangan itu ke dlm fikiran kanak-kanak dgn mudah dan senang.

2. Merbahaya kepada akal kanak-kanak dan pemikiran mereka, kerana menanam dlm fikiran mereka khayalan yg tidak mpnyai asas sama sekali dan perkara2 yg luar biasa yg langsung tidak selari dgn Sunnah alam universal ciptaan ALLAH, dimana drpd serangga atau makhluk baru yg disebutkan di atas, berbagai bentuk dan perkara pelik dan ajaib yg langsung tidak mempunyai asas baik drpd akli mahupun nakli, muncul. Sepatutnya kanak-kanak mengenali binatang yg menghuni d persekitarannya yg tidak byak orang mengetahuinya, kerana itulah merupakan gesaan Al-Quran. Firman ALLAH SWT;
       "Mengapa mereka yg kafir masih mengingkari Akhirat, tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?" <al-Ghashiah:17>

Unta mrupakan binatang yg paling dekat dgn persekitaran orang Arab. Alangkah baiknya kalau kita dapat tumpukan perhatian anak-anak kita untuk mempelajari binatang2, burung-burung dan serangga2 yg hidup d persekitaran mereka, drpd mempamirkan binatang2 ini dalam bentuk yg pelik yg tidak pernah wujud di alam nyata.

Antara bahaya yg berlaku ke atas kanak-kanak ialah mereka cuba meniru perkara-perkara khayalan yg mereka saksikan dlm kaca televisyen sehingga mendedahkan diri sendiri kepada kematian. Sebuah akhbar Emirate Arab Bersatu pernah melaporkan berita kemalangan yg dihadapi oleh seorang kanak-kanak perempuan di sebuah bangunan kerana melompat drpd tingkat 4 dan aksi tersebut hampir2 di ikuti oleh adik perempuannya kalau tidaklah kerana keluarga berjya mnyelamatkannya pd saat-saat akhir. Apabila ditanya kanak-kanak perempuan itu menyatakan beliau meniru aksi pokemon yg terjun drpd tempat yg paling tinggi ttapi tidak mengalami apa-apa kecederaan.

3. Bahaya kepada tingkah laku dan moral kanak-kanak dan hubungan baik dgn jiran tetangga. Filem tersebut menanam idea suka bergaduh dan kekuasaan akan kekal kpd yg berkuasa. Idea ini merupakan idea Darwin. Filem itu menyeru ke arah pergaduhan, kekerasan dan pembunuhan dgn m'gunakan apa sahaja demi mengalahkan pihak yg tidak sehaluan. Dunia skrg mengadu kemunculan filem-filem bersiri yg mempamerkan kekerasan sehingga kita dapat melihat kesannya kepada anak-anak kecil di Amerika Syarikat yg sanggup membunuh kawan-kawan sendiri yg berada dlm bilik darjah dgn cara melepaskan tembakan membuta tuli tanpa sebarang kesalahan yg dilakukan oleh kawan-kawan itu....  

#Masya-Allah...besarnya kesan kartun 2..huhu.
# Khas buat kita smua.. walaupun yg tidak meminatinya...huhuu

-Karya drpd: Buku Metod Al-Qardawi, Prof Madya Dr Basri Bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari (dptkn d pasaran skrg..Wink

#al-Syeikh Yusuf al-Qardawi merupakan ulama umat Islam pd masa kini. Fatwa-fatwa beliau byak menyentuh isu-isu semasa dan melibatkn pelbagai lapangan hidup drpd urusan ibadah sehinggalah hubungan antara bukan islam dgn org islam dan juga seni.